Pages

Misteri Mona Fendy 9


Episode XXXII "Tuan-tuan & Puan-puan..."

TARIKH : 9 FEBRUARI 1995
TEMPAT : MAHKAMAH TINGGI TEMERLOH
TERTUDUH : JURAIMI HUSIN, MOHD AFFANDI ABDUL RAHMAN DAN MAZNAH ISMAIL ATAU MONA FANDEY.

SEBELUM tujuh juri membuat keputusan terhadap ketiga-tiga tertuduh perbicaraan kes pembunuhan bekas Adun Batu Talam, Datuk idros @ Mohd Mazlan Idris, Hakim Datuk Mokhtar Sidin menggulung kesnya. Berikut antara petikan penggulung kesnya.

"TUAN-tuan dan puan-puan para juri. Sekarang telah tiba masa bagi saya membuat penggulungan. Sebagaimana yang disedia maklum, perbicaraan telah berjalan lebih daripada tiga bulan sejak 12 September 1994, sungguhpun perbicaraan sebenar hanya 69 hari.

Pada 12 September 1994, juri berikrar untuk memberikan verdik (keputusan) yang sebenarnya berasaskan keterangan yang telah diberikan diperbicaraan ini.telah mendengar keterangan kedua-dua pihak iaitu pihak pendakwa dan pembela. Kini kita berada di peringkat terakhir di mana saya dikehendaki menggulung perbicaraan ini.

Ini juga peringkat juri dikehendaki membuat pertimbangan keputusan dalam perbicaraan ini. Inilah masanya juri dikehendaki memenuhi kewajipan seperti yang diikrarkan dulu.


Sungguhpun saya telah terangkan dengan ringkas berkenaan dengan kewajipan juri dalam perbicaraan setelah juri berikrar dulu, namun izinkan saya terangkan tanggungjawab kita dengan lebih lanjut lagi. Kewajipan saya sebagai seorang hakim yang membuat keputusan atau arahan mengenai persoalan undang-undang. Saya hakim dari segi undang-undang manakala juri adalah hakim dari segi fakta.

Juri bertanggungjawab memutuskan sama ketiga-tiga Orang Kena Tuduh (OKT) atau mana-mana daripada mereka bersalah atau tidak, berdasarkan fakta yang dikemukakan di mahkamah dengan pertimbangan juri. Untuk mendapatkan keputusan yang wajar, juri hendaklah pertimbangkan hanya keterangan dan fakta yang dikemukakan di mahkamah. Juri jangan dipengaruhi apa-apa perkara di luar mahkamah, laporan media massa, komen di luar mahkamah atau apa cara sekalipun. Juri adalah bebas untuk membuat keputusan, melahirkan pandangan serta kesimpulan berdasarkan keterangan yang diberikan dalam mahkamah.

Sekiranya saya memberikan pandangan mengenai saksi, juri boleh mengambil perhatian mengenai pandangan saya tetapi tidak terikat untuk ikut atau bersetuju dengan pandangan saya. Bermakna di sini juri bebas untuk membuat keputusan sendiri mengenai apa-apa fakta atau keterangan tanpa dipengaruhi pandangan atau pendapat saya.

Bagaimanapun, ingin saya ingatkan berkaitan dengan soal undang-undang, juri adalah terikat dengan apa yang saya kata atau putuskan. Jika saya katakan bahawa sesuatu itu adalah undang-undang, juri hendaklah terima kenyataan itu sebagai salah atau betul.

Juri hendaklah menerimapakai (apply) undang-undang itu kepada fakta dari keterangan dalam kes ini. Saya ingin menerangkan secara ringkas beberapa
prinsip undang-undang jenayah yang perlu diingatkan dan diterima pakai oleh juri di dalam kes ini.

Adalah menjadi prinsip utama dalam undang-undang jenayah bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah di sisi undang-undang sehingga dibuktikan bersalah. Undang-undang tidak memerlukan OKT (orang kena tuduh) membuktikan yang ia tidak bersalah dalam mahkamah. Sebaliknya pula, undang-undang 'memerlukan pihak pendakwa membuktikan bahawa OKT adalah bersalah seperti yang dituduh.

Kewajipan untuk membuktikan sesuatu di sisi undang-undang adalah disebut sebagai beban (burden) membukti. Beban membuktikan kesnya melampau sebarang keraguan yang munasabah di dalam bahasa Inggeris `beyond reasonable doubt' adalah dipertanggungjawabkan kepada pendakwa.

Undang-undang tidak memerlukan pendakwa membuktikan kesnya hingga ke tahap 100 peratus sehingga tidak ada sebarang keraguan langsung. Sekiranya juri setelah menilai semua keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan ini, juri masih khuatir sama ada OKT bersalah atau tidak, maka itu adalah keraguan yang munasabah.

Ini adalah keraguan atau kekhuatiran yang wujud dan bersemadi dalam pemikiran juri. Keraguan yang munasabah ini ialah satu-satunya keraguan yang serius yang menyebabkan juri teragak-agak mengenai keputusan yang hendak diberikan.

Keraguan ini hendaklah timbul dari keterangan yang telah dikemukakan atau pun tidak dikemukakan dalam mahkamah. Keraguan inilah bukan keraguan yang tidak nyata yang hanya wujud dalam fikiran juri yang tidak ada keterangan yang memadai.

Sekiranya pendakwa telah menghapuskan semua keraguan dalam fikiran juri, yang saya telah huraikan, maka barulah boleh dikatakan pendakwa telah membuktikan kes terhadap OKT hingga melampui keraguan yang munasabah. Beban pembuktian pembela tidak berat. Kewajipan pembela hanya menimbulkan keraguan terhadap tuduhan yang dikenakan terhadap OKT.

Pendakwa tidak perlu meyakinkan juri mengenai kes ini. Adalah memadai bagi pembela mengemukakan cerita OKT dan menimbulkan keraguan yang munasabah serta mungkin benar. Berikan manfaat kesangsian kepada pembelaan juri tidak pasti sama ada OKT bersalah atau tidak berdasarkan keterangan yang diberikan oleh pembela dan pendakwa.

Juri harus ingat bahawa juri bukan saja bertanggungjawab terhadap OKT tetapi juga kepada masyarakat dan negara bagi memastikan OKT mendapat perbicaraan yang adil. Saya yakin juri dapat menjalankan tanggungjawab sambil menegakkan keadilan. Menurut Seksyen 300 Kanun Kesesakan ada lima pengecualian bagi mengetepikan tuduhan membunuh dengan niat.

Bagaimanapun kelima-lima pengecualian ini tidak diterima pakai dalam kes ini. Sekiranya juri berpuas hati pendakwa membuktikan ada rancangan untuk membunuh si mati (Mazlan) untuk ambil wang maka ia tidak mengambil kira siapa yang melakukan pembunuhan itu.

Bagi membuktikan ada niat dalam pembunuhan itu pendakwa perlu membuktikan unsur berikut:

* Bahawa Mazlan mati di antara 10 malam 2 Julai 1993 hingga 12 tengah malam 8 Julai 1993.

* Bahawa kematian si mati adalah disebabkan perbuatan ketiga-tiga OKT atas niat bersama.

* Bahawa ketiga-tiga tertuduh melakukan pembunuhan dengan niat dan pengetahuan bersama.

Unsur pertama - (antaranya) si mati kali terakhir dilihat berada bersama OKT 2 berdasarkan keterangan saksi yang dikemukakan di mahkamah oleh pendakwa. Keterangan saksi menunjukkan si mati dilihat kali terakhir bersama OKT 2 pada 2 Julai 1993, jam 11 malam sebelum si mati dilaporkan hilang.

Unsur kedua - (antaranya) pendakwa berjaya membuktikan bahawa kematian si mati berpunca daripada perbuatan ketiga-tiga OKT yang melakukan pembunuhan dengan niat bersama.

Unsur ketiga - (antaranya) penemuan sijil saham si mati di rumah tertuduh dan keterangan itu tidak dipertikaian oleh pembela. Pemberian jam tangan si mati kepada abang OKT 2 menunjukkan OKT 2 berada di tempat pembunuhan. Tambahan pula dia sendiri mengaku meniru tandatangan si mati bagi menukar hak milik si mati. OKT 3 sendiri ketika dibawa oleh polis ke tempat kejadian pada pagi 22 Julai 1993 telah menunjukkan tempat mayat si mati ditanam dengan muncung mulut di samping menunjukkan tempat beberapa barang kes ditemui.

Tempat penemuan mayat tidak dipertikaian oleh pembela kerana pendakwa telah membuktikan bahawa ketiga-tiga OKT tinggal di rumah berkenaan ketika pembunuhan berlaku. Mayat yang ditemui di rumah itu turut disahkan oleh isteri dan sepupu si mati dengan keterangan sokongan pakar gigi. Keterangan pakar forensik bahawa kemungkinan si mati ditetak dengan kapak serta ketiadaan sebarang luka tangkis pada mayat si mati membuktikan ada niat dalam kes ini.


Pendakwa juga membuktikan bahawa pembunuh si mati mahu wang si mati kerana sebelum kematian si mati mengeluarkan lebih RM250,000 daripada beberapa bank dan ini disokong oleh keterangan saksi. Simpanan wang ketiga-tiga OKT ketika kejadian tidak banyak. Sebelum si mati hilang mereka ada sekitar RM2,000.

Selepas si mati hilang Affandi dan Mona telah berbelanja besar lebih RM200,000 dalam masa dua minggu. Juraimi turut dikatakan mendapat RM15,000. Kebanyakan not RM1,000 yang dibelanjakan oleh Affandi dan Mona mempunyai hubungan dengan wang yang dikeluarkan oleh si mati yang kebanyakannya not RM1,000.

Affandi dan Mona juga berusaha menjual kereta si mati sementara keterangan saksi turut menunjukkan Affandi berusaha memindahkan harta si mati dengan mendapat perkhidmatan peguam. Keterangan keadaan berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh saksi turut perlu dipertimbangkan sewajarnya serta teliti. Percakapan beramaran tidak boleh diambil kira oleh juri kerana ia hanya menyokong. Juri juga jangan mengambil kira kejadian lain yang terkandung dalam percakapan beramaran tertuduh kerana seperti yang saya katakan tadi seseorang yang dituduh itu tidak bersalah selagi dibuktikan bersalah. Percakapan beramaran tertuduh tetapi keterangan pendakwaraya semata-mata untuk menyokong kes mereka.

Juraimi dan Affandi memberikan keterangan membela diri lebih dua minggu. Juraimi mengaku dia yang menetak si mati. Dia berkata dia tak sedar apa yang dilakukan dan hanya ikut arahan. Pembelaan Juraimi adalah tiada niat untuk membunuh si mati tetapi hanya mengikut arahan. Juraimi berkata, ada rancangan dua minggu sebelum pembunuhan berlaku.

Affandi berkata, dia menjual tongkat dan songkok kepada si mati dengan harga RM2.5 juta di mana RM500,000 sudah dibayar manakala bakinya dijelaskan secara ansuran. Affandi berkata dia tidak tahu mengapa Juraimi menetak si mati. Dia berkata dia seorang yang hidup mewah, pakai kereta mewah tetapi keterangannya tidak disokong. Jadi timbul persoalan bagaimana
dia memiliki wang yang banyak.

Terpulang kepada juri untuk membuat andaian mengenainya. Affandi berkata dia ada simpan RM400,000 sejak di Petaling Jaya (pada 1992) tetapi saya hairan kerana adalah tidak logik wang sebanyak itu dibawa ke sana kemari ketika hidup di beberapa tempat. Walaupun dia kata ada wang sebanyak itu namun keterangan saksi menunjukkan dia berhutang untuk membeli keperluan dapur.

Pembela juga gagal mengemukakan keterangan sokongan bagi menunjukkan Affandi dan Mona hidup senang lenang dan memiliki kereta mewah sedangkan semua itu dibuktikan dengan mudah sekiranya benar. Malah dakwaan Affandi bahawa tongkat dan songkok yang dijual kepada si mati berhikmat tidak disokong oleh keterangan yang diberikan saksi pembela walaupun saksi pernah terbabit dengan penjualan benda itu kepada beberapa orang.

Pembela juga mendakwa Affandi dan Mona menjual surat sokongan berharga di antara RM2,000 dan RM3,000 tetapi gagal mengemukakan keterangan sokongan bagi menyokong kenyataan itu. Hanya isteri Affandi, Mona yang memberikan keterangan menyokong suaminya. Tetapi keterangan itu tiada nilai kerana kebenarannya tidak dapat ditentukan.

Mona pula memberikan dari kandang tertuduh menyebabkan keterangannya tidak dapat diperiksa balas bagi membuktikan kebenarannya. Juri boleh mengeluarkan keputusan berdasarkan tiga keadaan.

Pertama, sekiranya setelah menimbangkan semua keterangan yang dikemukakan oleh pendakwa dan pembela, juri berpuas bahawa pendakwa telah membuktikan kesnya terhadap ketiga-tiga OKT atau mana-mana OKT hingga tidak ada keraguan yang munasabah maka juri hendaklah memberi keputusan bersalah.

Kedua, sekiranya juri tidak berpuas hati atau berasa ragu-ragu yang ketiga-tiga OKT atau mana-mana OKT telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Kesesakan tidak terjumlah kepada lima pengecualian maka juri boleh menimbangkan keputusan kesalahan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Ketiga, sekiranya juri berpuas hati bahawa pendakwa telah gagal membuktikan kesnya atau ada keraguan yang munasabah bahawa OKT yang menyebabkan kematian si mati, maka juri hendaklah memberikan keputusan tidak bersalah.

Seterusnya reaksi tertuduh ketika keputusan juri diumumkan...