Pages

Misteri Mona Fendy 3


Episode XIV "Keterangan
Juraimi"


ADA orang tanya cerita apa ni. Apa tidaknya, ada yang baru membaca catatan ini. Ada yang tak baca daripada awal. Aku nak jelaskan buat sekian kalinya bahawa apa yang aku ceritakan ini adalah liputan perbicaraan kes Mona Fandey pada 1994 dan 1995. Kes ini pada masa tu memang cukup famous - aku cakap orang putih sikit. Budak kecil pun aku agak tahu Mona Fandey tu. Ada tiga watak penting dalam kes ini - tertuduh pertama Juraimi Husin; tertuduh kedua, Mohd Affandi Abdul Rahman dan tertuduh ketiga, Maznah ismail atau Mona Fandey. Affandi dan Mona kerap dirujuk seebagai pasangan bomoh dan Juraimi pula pembantu mereka. Ah ada lagi orang tanya berapa Juraimi dapat. Mengikut keterangannya di Mahkamah Tinggi Temerloh, dia hanya diberi RM180 atas tugasnya - menetak leher Datuk Mazlan Idris.

Aku teruskan lagi cerita ini.

Juraimi Husin mengaku hanya diberi RM180 selepas selesai melaksanakan arahan menetak leher, memotong sendi-sendi, melapah kulit dan daging serta menanam jasad Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris. Dia memberitahu mahkamah Affandi memberinya wang sebanyak itu setelah semua tugasnya selesai.

"Affandi memberi wang itu sebelum dia, Mona (Maznah Ismail) dan anak mereka, Mazdiana Affendy ke Kuala Lumpur.

"Dia (Affandi) beritahu hendak ke KL (Kuala Lumpur) dan seminggu lagi akan balik," katanya ketika disoal peguambelanya, Karam Singh Bahl.

Juraimi mendakwa melaksanakan pembunuhan itu atas rancangan dan arahan Affandi serta Mona pada malam 2 Julai 1993 di rumah tidak bernombor di Kampung Peruas Ulu Dong, Raub. Menurutnya, seminggu sebelum pembunuhan itu, dia diarah untuk melakukan beberapa persiapan, termasuk menyediakan lubang, parang, kayu dan tayar serta mengasah kapak yang digunakan untuk menetak leher Mazlan.

Katanya, Mona dan Affandi masing-masing mengasah satu parang.

"Rancangan itu dilakukan oleh Mona dan Affandi. Saya hanya mengikut arahan tanpa mengetahui perkara sebenarnya," katanya.

Itu bayaran yang dinyatakan Juraimi di mahkamah. Ish,ish,ish sikitnya - kata bebudak sekarang ciput. Ada orang tanya lain macam mana dia tetak Datuk Mazlan. Terus mati ke? Juraimi dalam keterangannya di mahkamah berkata, dia menetak leher Datuk Mazlan dengan kapak sehingga tiga kali.

Ini kerana kepala Datuk Mazlan tidak putus dari badannya selepas tetakan pertama dan kedua.

"Saya tetak leher Datuk Mazlan sebanyak tiga kali. Kali pertama tidak putus, kali kedua pun tidak putus dan kali ketiga baru putus.

"Bagaimanpun, saya sendiri tidak tahu sama ada tetakan kali ketiga itu untuk memastikan Datuk Mazlan sudah mati," katanya. Menurutnya, Affandi ada memberitahunya supaya menetak leher Mazlan dengan tepat. Juraimi juga mengulangi kenyataannya bahawa dia melakukan pembunuhan terhadap Mazlan atas arahan Mona dan Affandi. Selepas ada yang nak tahu lagi mengapa Juraimi seorang buat semua kerja. Ada juga tanya mengapa mesti dikerat-kerat. Susah juga nak ceritakan kerana bukan aku yang buat kerja itu. Tapi kalau nak tahu juga baca cerita ini sampai habis. Dalam keterangannya juraimi berkata, kerja mengerat badan Datuk Mazlan selepas dibunuh pada malam 2 Julai 1993 sepatutnya dilakukan oleh dia, Mona dan Affandi seperti dipersetujui bersama. Bagaimanapun, Juraimi berkata, selepas kejadian itu hanya dia seorang yang melakukan kerja itu.

"Pada peringkat awal (mengikut rancangan) saya, Mona dan Affandi akan kerat bersama badan Datuk Mazlan.

"Saya sendiri tidak tahu mengapa Mona dan Affandi tidak mengerat sama badan Datuk Mazlan," katanya. Menurutnya, dia juga tidak mengetahui mengapa dan siapa yang arahkan dada hingga ke perut Mazlan dibelah selepas pembunuhan itu. Juraimi berkata Mona dan Affandi yang mencadangkan supaya badan Mazlan dikerat selepas dibunuh. Ditanya mengapa bahagian-bahagian badan Mazlan yang telah kerat perlu dibakar, katanya:

"Saya sendiri pun tidak tahu mengapa mayat itu perlu dikerat dan dibakar." Tertuduh pertama juga berkata, Mona dan Affandi yang memilih supaya lubang digali dalam stor di rumah tak bernombor Kampung Peruas, Ulu Dong,Raub untuk menamam mayat Mazlan. Menurutnya, dia mengambil masa lebih sehari untuk menggali lubang itu. Apa cerita selepas ni. Ada orang nak tahu betulkah mereka ini bomoh dan pandai main ayat-ayat. Nak tahu nanti aku cerita lagi.

Episode XV "Sambungan Keterangan Juraimi"

AKU nak sambung lagi keterangan Mohd Juraimi Husin, tertuduh pertama kes bunuh Datuk Mazlan Idris di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994. Cerita ini ada aku ceritakan dalam posting yang lalu. Tetapi yang ini lebih terperinci. Aku kena buat transkrip percakapan mereka dalam mahkamah. Bayangkan berapa panjang mereka cakap. Kalau terlaju cakap terkial-kial aku nak 'figure out' apa benda dia cakap. Kalau salah catat, pembaca pun dapat maklumat salah.

Tapi aku ada cara sendiri, minta rujukan catatan peguambela atau pendakwa raya. Kadang kala mereka pun kelabu asap. Pinjam nota aku. Cara terakhir minta rujukan nota hakim. Part ni selalunya berat sikit - kena tahan telinga dan tebalkan muka - dengar 'syrahan' hakim dulu. Dah kerja nak buat macam mana.

Bukan itu aja perbuatan dan riak wajah mereka pun kita kena perhatikan. Dia senyum ke, menangis ke, ketawa ke, marah ke - semua kena 'dirakamkan'. Nampak macam real sebab pembaca tak tahu apa yang berlaku dalam mahkamah.

Berikut adalah petikan keterangan dalam kes pembelaan diri tertuduh ketika disoal peguambelanya, Karam Singh Bahl (dia ni tak ada kena mengena dengan Karam Singh Wariar - betul ke eja nama dia. Juraimi dalam keterangan di mahkamah menceritakan dari mula dia mengenali pasangan bomoh Mohd Affandi Abdul Rahman dan Maznah Ismail atau Mona Fandey hingga kepada pembunuhan Mazlan.

KARAM: Pada Hari Raya Puasa tahun lalu (25 Mac 1993), bolehkah Juraimi beritahu apa yang berlaku?

JURAIMI: Raya ke berapa?

KARAM: Raya keempat.

JURAIMI: Kami (termasuk Affandi, Mona dan anak mereka, Mazdiana Affandey) berpindah ke (Kampung Peruas), Ulu Dong, Raub.

KARAM: Dari Tanjung Lumpur, Kuantan ke Ulu Dong?

JURAIMI: Ya.

KARAM: Siapa yang rancang perpindahan itu?

JURAIMI: Rancangan Affandi.

KARAM: Ada Affandi bincang mengenai rancangan itu dengan Juraimi?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Bagaimana?

JURAIMI: Affandi kata hendak pindah dari Tanjung Lumpur ke Ulu Dong.

KARAM: Affandi beritahu atau berbincang dengan Juraimi?

JURAIMI: Beritahu.

KARAM: Apa sebab hendak pindah ke Ulu Dong?

JURAIMI: Untuk beramal.

KARAM: Beramal untuk siapa?

JURAIMI: Arwah Datuk Mazlan.

KARAM: Siapa yang cadang pindah ke Ulu Dong?

JURAIMI: Affandi yang cadang untuk berpindah ke Ulu Dong. Dia hendak cari tempat sesuai untuk beramal kepada Datuk (Mazlan).

KARAM: Siapa yang pilih Ulu Dong? Mengapa tidak pilih tempat lain?

JURAIMI: Tempat itu sesuai.

KARAM: Untuk siapa?

JURAIMI: Untuk Affandi (pada jawapan ini Mona yang diam sejak Juraimi memberi keterangan mulai jam 9.54 pagi tersenyum).

KARAM: Tahukah Juraimi, tanah di Ulu Dong tanah siapa?

JURAIMI: Arwah Datuk Mazlan.

KARAM: Bagaimana tahu?

JURAIMI: Datuk Mazlan yang beritahu sendiri.

KARAM: Kepada siapa?

JURAIMI: Kepada Affandi.

KARAM: Adakah Datuk rancang apa-apa dengan Juraimi?

JURAIMI: Tiada. Saya hanya ikut saja.

KARAM: Juraimi ikut siapa?

JURAIMI: Saya ikut Affandi, dia kata pindah, saya pindahlah.

KARAM: Ketika berpindah ke Ulu Dong, ada rumah di situ?

JURAIMI: Langsung tiada rumah.

KARAM: Pada mulanya, tiada rumah, hidup mana-mana?

JURAIMI: Kami tinggal dalam khemah.

KARAM: Semua keempat-empat orang tinggal dalam khemah?

JURAIMI: Ya.

KARAM: Berapa lama tinggal dalam khemah?

JURAIMI: Sebulan lebih.

KARAM: Selepas sebulan apa berlaku?

JURAIMI: Saya buat sebiji (sebuah) rumah.

KARAM: Bahan binaan untuk mendirikan rumah, siapa yang beli?

JURAIMI: Affandi dan Mona.

KARAM: Siapa yang keluarkan duit untuk membeli bahan-bahan itu?

JURAIMI: Di antara dua, kalau tak Affandi, Monalah.

KARAM: Ketika rumah itu dibina, ada Datuk Mazlan datang tengok?

JURAIMI: Ada juga.

KARAM: Ketika Datuk Mazlan tengok Juraimi mendirikan rumah, ada dia bercakap apa-apa dengan Juraimi?

JURAIMI: Dia hanya cakap dengan Affandi dan Mona.

KARAM: Setiap kali Datuk Mazlan datang ke situ, dia cakap dengan siapa?

JURAIMI: Cakap dengan Mona dan Affandi.

KARAM: Setiap kali Datuk datang ke situ, ada cakap dengan Juraimi?

JURAIMI: Ada juga (ketika ini kedengaran Mona terbatuk).

KARAM: Sila beritahu mahkamah, apa yang Datuk Mazlan cakapkan kepada Juraimi?

JURAIMI: Datuk bertanya bila rumah nak siap.

KARAM: Selain itu ada Datuk Mazlan merancang dan berbincang apa-apa dengan Juraimi?

JURAIMI: Dia bincang dengan Mona dan Affandi.

KARAM: Ada Juraimi terbabit dalam perbincangan itu?

JURAIMI: Tiada, saya sibuk dengan kerja saya.

KARAM: Ada Datuk Mazlan tolong Juraimi mendirikan rumah itu?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Mona dan Affandi ada tolong?

JURAIMI: Tolong naikkan siling rumah.

KARAM: Berapa lama bahagian dinding, lantai dan bumbung siap?

JURAIMI: Satu bulan lebih.

KARAM: Apabila rumah siap, ada Datuk Mazlan datang. Apabila datang dia cakap dengan siapa?

JURAIMI: Ada, Datuk cakap dengan Mona dan Affandi.

KARAM: Biasanya berapa kali Datuk Mazlan datang ke rumah itu?

JURAIMI: Setiap minggu datang ke rumah itu.

KARAM: Hari apa Datuk Mazlan datang?

JURAIMI: Kadang-kadang pada hari minggu (Ahad) atau Sabtu.

KARAM: Apabila Datuk Mazlan datang, dia cakap dengan Mona dan Affandi. Adakah pada bila-bila masa, Juraimi mendengar perbualan mereka?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Juraimi tahu tujuan Datuk Mazlan ke rumah itu?

JURAIMI: Tujuan Datuk ke rumah itu, saya tak tahu.

KARAM: Adakah Datuk Mazlan meminta ubat daripada mereka?

JURAIMI: Ada juga.

KARAM: Ubat apa, terangkan kepada mahkamah.

JURAIMI: Ubat dia macam serbuk.

KARAM: Mengapa Datuk meminta ubat itu, ada Juraimi tahu?

JURAIMI: Tidak.

KARAM: Berkenaan dengan pendawaian, nama dalam bil cagaran untuk mendapatkan bekalan elektrik atas nama siapa?

JURAIMI: Atas nama saya.

KARAM: Siapa yang bagi wang untuk membayar cagaran itu?

JURAIMI: Mona bagi.

KARAM: Dari mana Mona mendapat duit itu?

JURAIMI: Saya sendiri tak tahu.

KARAM: Ketika di rumah di Ulu Dong, ada Juraimi dengar sesiapa minta wang daripada Datuk Mazlan?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Siapa?

JURAIMI: Mona meminta wang daripada Datuk.

KARAM: Ada dengar berapa banyak?

JURAIMI: RM5,000.

(Peguambela Mona dan Affandi, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan, bangun untuk membuat teguran).

GHULAM: Jika boleh saya berharap Encik Karam tidak membimbing saksi untuk menjawab soalan.

HAKIM: Saya tidak nampak begitu. Ada soalan yang tidak difahami saksi dan perlu diterangkan oleh peguambela.

KARAM: Ada Juraimi nampak sesiapa memberi wang kepada Mona?

JURAIMI: Ada, arwah Datuk Mazlan.

KARAM: Ada Juraimi tahu, berapa banyak?

JURAIMI: Tahu, RM5,000.

(Juraimi kemudian ditunjukkan bil cagaran mendapatkan bekalan elektrik).

KARAM: Bil ini adalah bil Tenaga Nasional Berhad untuk bayaran cagaran mendapatkan bekalan elektrik. Nampak berapa jumlah yang dicatatkan di situ?

JURAIMI: RM200.

KARAM: Duit RM200 itu, adakah Juraimi minta daripada Datuk Mazlan?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Siapa yang bagi duit itu kepada Juraimi?

JURAIMI: Mona.

KARAM: Selepas Mona terima RM5,000, lebih kurang dua minggu selepas itu, apa yang berlaku?

JURAIMI: (Juraimi terdiam seketika seolah-olah berfikir sesuatu dan menjawab)...selepas terima wang, Datuk ada datang pada 1 hari bulan malam (1 Julai 1993).

KARAM: Sebelum Datuk Mazlan ke rumah itu, ada apa-apa berlaku di rumah itu. (Juraimi hanya berdiam dan tidak menjawab soalan itu, dan Karam kemudian menyoal lagi).

KARAM: Lebih kurang seminggu sebelum Datuk Mazlan datang ke rumah itu, ada apa-apa persiapan dibuat di rumah itu?

JURAIMI: Ada.

(Ghulam bangun sekali lagi membantah cara Karam menyoal Juraimi kerana menyifatkan peguambela itu membimbing tertuduh pertama untuk memberi jawapan).

HAKIM: Saya faham maksud Encik Ghulam, tapi saksi tak faham soalan itu.

KARAM: Apa persiapan itu?

JURAIMI: Persiapan untuk kejadian itu (pembunuhan Datuk Mazlan).

(Juraimi kemudian memberitahu mahkamah bahawa Datuk Mazlan datang ke rumah pada 2 Julai 1993 bukan 1 Julai 1993 seperti yang diberitahunya sebelum ini).

KARAM: Apa persiapan itu?

JURAIMI: Persiapan seperti lubang, stor...

KARAM: Lagi.

JURAIMI: Kapak, parang, kayu, tayar.

KARAM: Lagi.

JURAIMI: Cukup.

KARAM: Persiapan itu dibuat atas arahan siapa?

JURAIMI: Atas arahan Affandi.

KARAM: Persiapan itu atas cadangan siapa?

JURAIMI: Cadangan Affandi dan Mona.

KARAM: Ada kamu mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai persiapan itu?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Ada mereka berbincang dengan Juraimi untuk menjayakan rancangan itu?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Ada Juraimi tahu apa yang akan berlaku?

JURAIMI: Saya sendiri tak tahu.

KARAM: Ada Juraimi korek lubang?

JURAIMI: Ada, atas arahan Mona.

KARAM: Ikat batu pada dinding, arahan siapa?

JURAIMI: Atas arahan Affandi.

KARAM: Ada arahan lain daripada Affandi?

JURAIMI: Affandi suruh saya asah kapak.

KARAM: Tahu siapa asah parang?

JURAIMI: Ada dua parang, satu Mona asah dan satu lagi Affandi asah.

KARAM: Selepas kapak dan parang diasah, ada rancangan dibuat bersama Juraimi?

JURAIMI: Tiada. Saya hanya mengikut arahan Affandi.

KARAM: Apa arahannya?

JURAIMI: Seperti semua tadi, korek lubang, sediakan kayu, kapak, tayar.

KARAM: Berkenaan Datuk Mazlan, ada arahan untuk dia?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Bagaimana?

JURAIMI: Affandi suruh saya tunggu Datuk datang.

KARAM: Ada Datuk Mazlan datang?

JURAIMI: Ada pada 2 hari bulan tujuh (2 Julai 1993).

KARAM: Apa jadi pada Datuk Mazlan pada malam itu?

JURAIMI: Pada lebih kurang jam 10 malam lebih, Datuk tiba di rumah itu dengan Affandi.

KARAM: Mereka datang dengan apa?

JURAIMI: Dengan kereta Datuk.

KARAM: Pada masa itu, di rumah ada berapa orang?

JURAIMI: Ada tiga orang.

HAKIM: Siapa?

JURAIMI: Saya, Mona dan Mazdiana.

KARAM: Sebelum Datuk Mazlan datang, ada sesiapa memberi arahan kepada Juraimi?

JURAIMI: Mona arahkan saya supaya standby (siap sedia) sebelum Datuk datang.

KARAM: Standby untuk apa?

JURAIMI: Untuk kejadian.

KARAM: Kejadian apa?

JURAIMI: Satu pembunuhan (ketika Juraimi memberikan jawapan ini jam di dinding mahkamah menunjukkan jam 12.08 tengah hari).

KARAM: Ketika Datuk Mazlan datang ke rumah itu dengan Affandi, siapa yang masuk dahulu ke dalam rumah?

JURAIMI: Apabila mereka tiba, saya buka pintu pagar.

KARAM: Siapa yang memandu kereta itu?

JURAIMI: Arwah Datuk Mazlan.

KARAM: Siapa yang masuk dahulu dalam rumah?

JURAIMI: Affandi.

KARAM: Apa berlaku selepas itu?

KARAM: Apa Datuk Mazlan buat?

JURAIMI: Apabila Datuk masuk, Mona kata kepadanya: "Abang (Affandi) ada menunggu dalam bilik itu"

KARAM: Ada Datuk Mazlan bawa apa-apa?

JURAIMI: Satu briefcase.

KARAM: Ada nampak dia beri briefcase itu kepada siapa?

JURAIMI: Tidak nampak.

KARAM: Ada Datuk Mazlan beri briefcase itu kepada Juraimi atau Juraimi memintanya daripada Datuk Mazlan.

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Juraimi tahu apa Affandi buat dalam bilik itu?

JURAIMI: Sebab dia nak buat ibu duit, ilmu duit (Affandi yang duduk di kandang tertuduh dan tekun mendengar keterangan Juraimi tersenyum).

KARAM: Ketika Mona berkata: "Abang ada menunggu dalam bilik," Juraimi ada dengar?

JURAIMI: Dengar.

KARAM: Apa berlaku selepas itu?

JURAIMI: Datuk masuk dalam bilik Affandi.

KARAM: Adakah Datuk Mazlan pernah masuk bilik itu?

JURAIMI: Tak pernah.

KARAM: Ketika Datuk Mazlan masuk bilik itu, Juraimi ada di mana?

JURAIMI: Di bahagian dapur.

KARAM: Berapa jauh dapur dengan bilik air?

JURAIMI: Tidak jauh.

KARAM: Boleh Juraimi dengar perbualan dalam bilik itu (Affandi dan Mazlan berada)?

JURAIMI: Tak boleh dengar.

KARAM: Dari tempat Juraimi berdiri, boleh nampak mereka?

JURAIMI: Tak nampak sebab ada pintu.

KARAM: Ada nampak mereka berdua keluar?

JURAIMI: Affandi keluar dahulu, kemudian Datuk.

KARAM: Selepas itu apa berlaku?

JURAIMI: Mona ada bertanya kepada Datuk sama ada dia ada membawa kain atau tidak. Datuk jawab, ada bawa kain, ada dalam kereta.

KARAM: Ada Datuk Mazlan keluar selepas itu?

JURAIMI: Datuk Mazlan kemudian keluar untuk mengambil kain.

KARAM: Apa jadi kemudian?

JURAIMI: Selepas itu Affandi membuka baju dan terus pakai kain.

KARAM: Selepas itu?

JURAIMI: Affandi terus mengambil satu blanket (selimut) terus masuk bilik air dan membawa dua biji bantal (Affandi sekali lagi kelihatan tersenyum mendengar keterangan ini).

KARAM: Apabila Datuk Mazlan datang ke rumah, apa dia buat?

JURAIMI: Sebelum Datuk masuk, dia memetik bunga orkid di luar rumah.

KARAM: Datuk Mazlan bagi pada siapa?

JURAIMI: Datuk pegang dan kemudian beri pada Mona.

KARAM: Apa berlaku seterusnya?

JURAIMI: Sebelum Datuk masuk bilik air, Mona suruh buka baju dan seluar dan pakai kain saja...kecuali seluar dalam. (Mereka yang berada dalam mahkamah ketawa berderai).

KARAM: Ada sesiapa yang suruh Datuk Mazlan masuk bilik air?

JURAIMI: Mona suruh.

KARAM: Selepas itu?

JURAIMI: Saya bangun ke dapur.

KARAM: Ada Datuk Mazlan keluar dari bilik air?

JURAIMI: Tidak.

HAKIM: Bilik air mana?

JURAIMI: Bilik air yang Datuk masuk.

HAKIM: Ketika itu Affandi di mana?

JURAIMI: Dalam bilik air.

KARAM: Selepas itu?

JURAIMI: Selepas itu, Mona, Affandi dan Datuk ada dalam bilik air.

KARAM: Ada dengar apa-apa?

JURAIMI: Saya mendengar Affandi berkata kepada Datuk...(terdiam).

KARAM: Cerita depan Yang Arif.

JURAIMI: (Affandi kata) Datuk baring, nanti ada suara ghaib berkata, duit sebanyak ini jatuh. (Mona tersenyum mendengar cerita Juraimi).

KARAM: Apa jadi.

JURAIMI: Sebelum baring, Datuk ada cakap: "Saya tidak boleh tahan dongak lama-lama."

KARAM: Datuk cakap kepada siapa?

JURAIMI: Kepada Affandi dan Affandi menjawab: "Sekejap aje."

KARAM: Jadi Datuk Mazlan terus baring?

JURAIMI: Datuk terus baring.

KARAM: Ada lampu pada masa itu?

JURAIMI: Lampu elektrik dipasang di bilik air. Ada lilin.

KARAM: Selepas itu apa berlaku?

JURAIMI: Datuk sudah baring, Mona ada meletakkan bunga pada dahi Datuk. Affandi duduk sebelah Mona dan ketika duduk Affandi menutup mata Datuk dengan tangannya. Selepas ditutup, Affandi nampak lampu cerah dan tutup. Kemudian nyalakan lilin. Setelah lampu padam dan lilin dinyalakan, Affandi duduk balik di sebelah Mona. Setelah itu, Affandi menutup semula mata Datuk dengan tangan dan memanggil saya dengan isyarat tangan. Ketika saya masuk, anaknya, Mazdiana terjaga dari tidur. Selepas itu, saya keluar balik. Affandi terus bangun mendapatkan anaknya dan selepas anaknya tidur, Affandi berjumpa saya.

Ketika berjumpa saya, Affandi berkata: "Rong (singkatan panggilan Gondrong), kalau tetak biar kena tepat, jangan salah tempat. Kalau tidak habis kita."

KARAM: Ketika Affandi keluar untuk menjaga anaknya, Mona di mana?

JURAIMI: Ada di situ bersama Datuk.

KARAM: Apabila Affandi balik ke bilik air itu apa dia buat?

JURAIMI: Affandi terus duduk di tempat asal dan menutup semula mata Datuk. Affandi panggil saya dengan isyarat tangan dan saya terus masuk ke bilik itu dan tetak bahagian leher.

KARAM: Dengan apa (menetak kepala Datuk Mazlan)?

JURAIMI: Kapak.

(Pada masa ini, jurubahasa mahkamah mengeluarkan kapak yang dikemukakan di mahkamah selepas mendapat arahan Karam. Ghulam kemudian bangun).

HAKIM: Saya tahu Encik Ghulam. Tak perlu keluarkan (kapak) dahulu, tunggu arahan peguambela. Jangan tunjukkan dulu pada saksi. Takut juga Encik Ghulam, juri pun takut juga. (Bilik mahkamah sekali lagi berderai dengan ketawa).

KARAM: Ini kapak yang digunakan? (menunjukkan kapak itu yang diletakkan di atas meja peguambela dan pendakwaraya).

JURAIMI: Ya, ini kapak yang digunakan.

KARAM: Siapa yang memiliki kapak ini?

JURAIMI: Ini kira, Affandi yang beli.

KARAM: Selepas tetak bahagian leher, apa jadi kepada Affandi dan Mona?

JURAIMI: Saya tetak tiga kali, selepas itu baru kepala putus.

HAKIM: Kepala siapa?

JURAIMI: Kepala Datuk (jawapan itu membuatkan mereka yang berada dalam mahkamah sekali lagi ketawa kerana jawapan itu mungkin juga merujuk kepada Hakim Datuk Mokhtar Sidin. Menyedari itu Juraimi terus menjawab Datuk Mazlan).

JURAIMI: Affandi dan Mona pun bangun. Affandi terus mengarahkan saya potong bahagian sendi-sendi. Affandi suruh lapah sekali dan selepas lapah, Affandi terus keluar ke bilik air lain.

KARAM: Ada sesiapa masuk bilik air itu?

JURAIMI: Selepas itu tiada. Selepas itu Affandi terus masuk bilik amal dia. Affandi kemudian keluar dan membawa keluar satu sampul surat. Dia kepit sampul surat itu.

KARAM: Apa ada dalam sampul surat itu?

JURAIMI: Saya tidak nampak.

KARAM: Ada Juraimi terima apa-apa arahan selepas itu?

JURAIMI: Saya ada bertanya kepada Affandi: "Macam mana dengan mayat itu?" Affandi jawab: "Tanya ibu (Mona) dulu." Affandi kemudian bertemu Mona dan datang balik serta berkata: "Ibu (Mona) kata suruh tanam saja."

KARAM: Ada beri apa-apa?

JURAIMI: Affandi beri duit sebanyak RM180 dan berkata: "Bapak (Affandi) hendak ke KL (Kuala Lumpur). Seminggu lagi bapak akan balik."

KARAM: Dia pergi dengan siapa?

JURAIMI: Affandi pergi dengan Mona dan anak mereka. Apabila mereka keluar dari rumah, saya keluar dari bilik itu dan kunci pintu depan.

KARAM: Mereka pergi dengan apa?

JURAIMI: Kereta Datuk, nombornya CAA 5115.

KARAM: Juraimi terus tinggal di rumah itu?

JURAIMI: Ya, seorang diri.

KARAM: Ceritakan apa yang berlaku selepas itu?

Episode XVI "Sambungan Keterangan Juraimi 2"

AKU sambung lagi keterangan Mohd Juraimi Husin ketika membela diri dalam perbicaraan kes peembunuhan Datuk Mazlan Idris di Mahkamah Tinggi temerloh pada 1994. Pada posting sebelum ini, Juraimi bercerita panjang lebar mengenai pembabitannya dalam pembunuhan Mazlan. Juraimi disoal peguambelanya,

Karam Singh Bahl :Ceritakan apa yang berlaku selepas itu?

JURAIMI: Selepas kunci rumah, saya masuk ke bilik air dan ambil satu basin. Saya kemudian kumpulkan tulang dan daging (jasad Datuk Mazlan) dalam basin itu.

KARAM: Boleh ingat berapa keping?

JURAIMI: Ketika itu tak ingat berapa keping.

KARAM: Apa buat dengan tulang dan daging dalam basin itu?

JURAIMI: Saya ke belakang, ke bilik stor dan terus curahkan tulang dan daging itu ke dalam lubang (yang sudah siap digali).

KARAM: Ada Juraimi tutup lubang itu (selepas masukkan tulang dan daging)?

JURAIMI: Ada, saya kambus balik.

KARAM: Apa Juraimi buat selepas itu?

JURAIMI: Saya kemudian masuk bilik air itu dan ambil kain, blanket, bantal dan pakaian Datuk yang mempunyai kesan darah Saya kemudian terus ke belakang rumah dan membakarnya. Selepas itu, saya cuci bilik air dan apabila semuanya siap saya mandi.

KARAM: Bila Juraimi simen lubang itu?

JURAIMI: Pada keesokan harinya (3 Julai 1993).

KARAM: Kejadian dalam rumah itu habis jam berapa?

JURAIMI: Apabila saya hendak tidur, saya lihat jam pukul 1.30 pagi.